Saturday, October 8, 2011

ALKISAH RAJA AHMAD NASIR



Kecoh di hadapan Istana Iskandariah, apabila seorang lelaki, Raja Ahmad Nasir Abdullah Aziz, 55, mendakwa diri dan ahli keluarganya sebagai pewaris kesultanan Perak, ingin memasuki istana, di sini, awal pagi semalam.

Dia yang datang bersama ahli keluarga , tiba kira-kira jam 9.30 pagi dengan tujuan memasuki istana sempena ulang tahun kelahiran anak sulungnya, Raja Syedi Omar Raja Ahmad Nasir, 23.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila sepasukan polis cuba menghalang mereka daripada memasuki istana.
Raja Ahmad Nasir berkata, niat mereka sekeluarga bukan untuk menceroboh, tetapi ingin membawa anak sulungnya melawat istana sempena sambutan ulang tahun kelahiran pada tanggal 25 September.
Menurutnya, dia pernah membuat permohonan kepada pihak berkaitan untuk memasuki istana tetapi ditolak.
“Kami datang untuk melawat istana sahaja kerana anak sulung saya yang merupakan waris kesultanan Perak belum pernah memasuki istana.
“Hari ini ulang tahun kelahirannya jadi saya ingin menunaikan hasrat itu sahaja tetapi kami dihalang,” katanya kepada media selepas dihalang memasuki istana, semalam.
Kata Raja Ahmad Nasir, mereka adalah adalah keturunan Raja Kulop Ahmad dan pada suatu ketika dahulu anak kepada moyangnya sepatutnya menjadi sultan.
Jelasnya, tetapi ketika itu, keturunan baginda disumpah selama tujuh keturunan dan sekarang sudah masuk generasi kelapan.
“Anak sulung saya ini adalah generasi ke lapan dan pewaris kesultanan yang sepatutnya sekarang,” katanya.

Dia yang datang dari Seri rapat, Taman Maju Rapat, Ipoh itu, turut menafikan pernah menyebarkan maklumat mengatakan akan hadir bersama 5,000 pengikut untuk menceroboh istana menggunakan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
“Saya tidak menghantar SMS itu dan mungkin kerja pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan memburukkan keadaan.
“Kita minta polis menyiasat siapa yang menghantar SMS itu kerana saya datang hanya bersama keluarga,” katanya.

Sehari sebelum itu, Raja Ahmad Nasir membuat laporan polis di Sungai Senam, Ipoh, menggesa pihak berkuasa mengkaji ulasan Menteri Besar mengenai keturunan raja-raja dalam keluaran akhbar sebelum ini.
Katanya, ulasan yang dikeluarkan tidak benar tanpa menyiasat keseluruhan fakta kesultanan Perak.
“Saya amat kecewa dengan ulasan itu dan terancam serta memohon siasatan terperinci tanpa unsur politik,” katanya.

Visual Berkenaan Raja Ahmad Nasir



sumber : TV3






Berita Lebih Lanjut
MB minta polis ambil langkah keselamatan selaras undang-undang

Polis diminta agar mengambil langkah keselamatan selaras dengan undang-undang terhadap cubaan rombongan diketuai Raja Ahmad Nasir Raja Abdullah Azizi yang mendakwa dirinya sebagai ahli kerabat diraja Perak untuk memasuki Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, pagi Ahad ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika diminta mengulas perkara itu berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ada.
Katanya, sesiapa juga yang menimbulkan masalah akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang ditetapkan agar keselamatan negeri dan rakyat sentiasa terjamin.
“Saya serahkan kepada pihak keselamatan untuk mengendalikan perkara ini dan mengambil langkah yang perlu.
“Benda ini (isu dakwa waris Kesultanan Perak) bukan perkara baru kerana sudah beberapa kali pengumuman dan kenyataan dibuat oleh pihak terbabit yang mendakwa dirinya ahli kerabat Kesultanan Perak,” katanya kepada pemberita di Ipoh.
Beliau mengulas penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dipetik satu rombongan yang diketuai oleh Raja Ahmad Nasir Raja Abdullah Azizi akan cuba memasuki Istana Iskandariah jam 9.30 pagi, pada 25 September ini.
SMS yang dihantar kepada pengamal media sejak beberapa hari lalu itu juga menyatakan rombongan nekad akan bertolak dari kediaman Raja Ahmad Nasir di Taman Maju Rapat, dekat Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah pada sekitar jam 7.30 pagi.
Pengamal media dijemput hadir untuk menyaksikan sendiri apa yang akan terjadi terhadap rombongan, menurut SMS itu lagi.
Pada April tahun lalu, Raja Ahmad Nasir dalam akhbar Utusan Malaysia dilaporkan mengaku dirinya sebagai kerabat diraja Perak dan memohon ditabalkan ke salah satu dari dua kekosongan jawatan Raja-Raja Bergelar di negeri itu.
Beliau mendakwa memiliki hak untuk menduduki kekosongan itu kerana merupakan waris negeri atau waris dari Sultan Ke-18, Sultan Ahmadin Shah.
“Saya bukan mahu wang, saya hanya mahu kedudukan itu sahaja kerana datuk saya pernah berpesan kepada saya untuk mendapatkannya,” katanya.
Menurut Raja Ahmad, beliau yakin memiliki hak yang sama rata dengan mana-mana waris negeri untuk mendapatkan gelaran tersebut.
Jelasnya, walaupun Istana Perak telah menjelaskan bahawa hanya ahli kanan waris negeri yang layak dilantik, beliau tetap mempertahankan haknya itu kerana yakin dirinya merupakan waris Raja Kulop Mohammad.
Kata beliau, keturunannya sebelum ini tidak pernah menuntut kedudukan Raja-Raja Bergelar kerana mereka telah dikenakan sumpahan yang antaranya menyebabkan terpaksa menggugurkan istilah Raja dalam nama mereka.
Jelas beliau, selepas melepasi sumpah tujuh keturunan itu, barulah beliau berhak untuk memenuhi tuntutan tersebut.
Jelasnya, beliau mempunyai bukti keturunannya yang kukuh dan membolehkan dirinya memohon untuk memenuhi gelaran itu.
Mengikut perundangan Perak, hanya ahli kanan waris negeri iaitu anak-anak kepada Raja Pemerintah, bakal-bakal Sultan dan Raja-Raja Bergelar sedia ada sahaja yang dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan Raja-Raja Bergelar jika ada.






No comments: