Wednesday, September 26, 2018

Misteri Royal Belum, Kampung Belum Lama Dan Pendudukan Komunis

    Assalamualaikum dan salam sejahtera,setelah lama saya tak kemaskini blog, hari ini saya akan terbitkan satu topik berkenaan Royal Belum. Sebenarnya ada lagi subtopik yang akan saya huraikan hasil dari rumusan yang saya buat setelah meneliti dan membuat penyelidikan bahan-bahan artikel di media massa.

   Antara topik yang ingin saya huraikan adalah:

  • Royal Belum
  • Kampung Belum Lama dan Kampung Belum Baru
  • Pembersihan komunis oleh Tun Abdul Razak di Hutan Temenggor
  • Kampung di dasar Tasik Temenggor.

1. ROYAL BELUM

Saya mulakan dengan Royal Belum dahulu. Hutan Royal Belum terletak di negeri Perak yang bersempadan dengan Thailand, berkeluasan 300,000 hektar dan bersaiz empat kali Singapura dan hutan ni lebih tua dari hutan Amazon menjadikannya hutan paling tertua di dunia. Asal nama 'Royal Belum' dipercayai diambil dari serangga kayu yang berbunyi seperti "Belumm, Belumm...


Royal Belum. Kredit:Rojak Daily


Apa yang saya ketahui, spesies burung kenyalang di sini lebih banyak daripada yang ada di Borneo. Dan pelbagai lagi spesies flora dan fauna. Antara yang menarik adalah salah satu spesies bunga Rafflesia iaitu Rafflesia Azlani. Diambil sempena nama Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah Ibni Almarhun Sultan Yussuff. Apa yang diberitahu oleh penduduk setempat, bunga ini tidak boleh disentuh dan akan merajuk dan takkan tumbuh lagi.

Rafflesia Azlani. Kredit : Flickr


Selain itu, Royal Belum didiami oleh masyarakat orang asli terdiri dariu suku kaum Jahai dan Negrito. Antara kampung orang asli yang terdapat disini ialah di Kampung Orang Asli Sungai Kejar, Kampung Orang Asli Sungai Tiang dan Kampung Orang Asli Belum Lama..
Untuk anda mengethui lebih lanjut berkenaan Royal Belum,boleh tekan link disini

2. KAMPUNG BELUM LAMA

Didalam hutan belantara Royal Belum, terdapat satu kampung yang dikenali sebagai Kampung Belum Lama yang penuh misteri. Perlukan masa selama dua hari untuk sampai di situ melaui Sungai Kejar dan terpaksa menempuhi sira haiwan (tempat haiwan liar minum) dan perlu bermalam didalam hutan. Antara misteri yang tersimpan di Kampung Belum Lama adalah Ikan Toman Gergasi,Pokok Ara tiga penjuru dan perkampungan bunian. 

Dikatakan, masyarakat Kampung Belum Lama adalah hasil dari perkahwinan manusia dan orang bunian dengan anak Datuk Pulang Hari dan Puteri Saadon (bunian). Menurut cerita dari penduduk asal Kampung belum Lama iaitu Pak Teh, keturunannya datang dari hasil perkahwinan anak Datuk Pulang Hari dan Puteri Saadon. Diberi nama Datuk Pulang Hari kerana kemampuannya boleh berulang alik dari Kampung Belum Lama ke Pattani dalam hari yang sama. Penduduk asal Kampung Belum Lama mestilah membuat tahlil setahun sekali, jika tidak ada halangan yang akan menimpa iaitu seprti banjir besar.


Dengan adanya Empangan Temenggor, masa untuk sampai ke Kampung Belum Lama adalah selama dua hari, berbeza dengan sebelum adanya Empangan Temenggor, yang memakan masa selama seminggu untuk sampai ke perkampungan tersebut.Pak Teh seperti yang diceritakan penduduk kampung, masih boleh ke Kampung Belum Lama dengan lebih cepat dari orang lain walaupun telah berusia 88 tahun. Menurut Pak Teh, disina ada lombong emas yang tidak ditemui tetapi masih wujud. Zaman dahulu,masyarakat tidak memperdulikan kewujudannya tetapi penduduk asal di situ tahu ianya masih ada di Belum Lama.

Jejak tapak kaki gajah di laluan menuju ke Kampung Belum Lama. Kredit:Bharian

Satu lagi misteri ialah kewujudan orang asli dari suku Jahai. Jahai adalah satu daripada 6 suku Negrito yang mendiami tanah melayu dan berhijrah ke Asia Tenggara kira-kira 60,000 tahun dahulu. Akan tetapi,mereka bukanlah penduduk asal di Kampung Belum Lama kerana mereka hidup secara nomad dan banyak perkuburan islam dan budaya melayu islam seperti tapak masjid di kampung berkenaan.

Orang Asli Suku Jahai. Kredit:Bharian

3. KAMPUNG BELUM BARU

Masyarakat Kampung Belum Lama sudah berpindah ke Bendang Puru berhampiran Gerik sejak 1952,selepas mendapat arahan dari pihak British yang melancarkan serangan terhadap komunis yang ada di situ. Kawasan Kampung Belum Baru adalah sebuah penempatan yang dibuka British pada tahun 1953.Tidak timbul langsung bahawa kampung ini terletak dalam hutan di Lembah Belum.Untuk ketahui lebih lanjut, klik di sini.

4. PEMBERSIHAN KOMUNIS OLEH TUN ABDUL RAZAK DI HUTAN TEMENGGOR

Terkenal sebagai 'kawasan hitam', lalu Tun Abdul Razak mendapat idea untuk membersihkan komunis dengan cara....

Hutan ini menyimpan sejarah tersendiri,apabila tentera jepun menjadikan hitan ini sebagai laluan mereka dari Kota Bharu Kelantan semasa Perang Dunia Kedua.Selepas Perang Dunia Kedua pula, negara diancam pula dengan ancaman komunis.Hutan ini menjadi tempat persembunyian gerila komunis pada tahun 1963 kerana hutan ini bersempadan dengan Thailand.

Tasik Temenggor. Kredit:Orangperak.com

Pihak British meminta semua penduduk Kampung Belum Lama untuk berpindah dan kosongkan kampung tersebut,dan kawasan Belum diishtiharkan sebagai kawasan hitam dan orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu. Selepas negarmencapai kemerdekaan sehinggalah Tun Razak menjadi PM,komunis masih ada dan bersembunyi di situ. Pada tahun 1974 beliau mendapat idea untuk menghapuskan komunis di kawasan itu dengan cara membuat empangan dan seterusnya bermanfaat untuk penduduk setempat kerana empangan itu akan digunakan untuk menghasilkan kuasa elektrik dan kawasan takungan air.


Empangan Temenggor. Kredit:Bashyar Abdullah Flickr

Apabila kawasan itu diempangkan,secara tidak langsung laluan tikus dan laluan rahsia komunis terbenam dan komunis pula berundur balik ke Thailand. Hasil dari empangan ini, maka terbentuklah sebuah tasik iaitu tasik temenggor. Semasa empangan ini sedang dalam pembinaan, banyak pertempuran antara pihak keselamatan dan komunis sehingga ada anggota leselamatan yang terkorban.

Sebuah helikopter Nuri turut ditembak jatuh ketika sedang menghantar bekalan makanan dan anggota tentera ke kawasan operasi menyebabkan 11 orang terbunuh termasuk juruterbangnya pada 27 April 1976. Kekuatan pihak komunis mula menurun dan ancamannya semakin berkurang semenjak empangan ini dibina. Sehingga tercapainya Perjanjian Damai Hat Yai antara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Dengan itu tamatlah pemberontakan komunis di Malaysia.

Namun, di sebalik pembinaan empangan ini, ada satu peristiwa yang berlaku iaitu sebuah kampung yang turut tenggelam iaitu Kampung Temenggor.

5. KAMPUNG DI DASAR TASIK TEMENGGOR

Kisah penempatan ini tengelam berlaku pada tahun 1976 dan mereka kini berpindah ke penempatan baru.
Segalanya bermula apabila Lembaga Letrik Negara (kini TNB) mula membina empangan stesyen hidroelektrik di kawasan tersebut iaitu kawasan empangan Temenggor. Projek ini juga penting dan mampu menyumbang sebanyak 348 megawatt.

Perlaksanaa projek pembinaan empangan temenggor ini bermula pada tahun 1973 dan mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkaniaitu pada tahun 1978 dengan kos RM340 juta dan disinilah bermulanya titik permulaan tenggelamnya Kampung Temenggor pada tahun 1976 secara keseluruhannya termasuk rumah-rumah kayu beratapkan rumbia,masjid,sekolah,sawah,dusun dan kebun-kebun getah. Ia juga merupakan satu penanda aras bahawa berakhirnya satu garisan zaman buat masyarakat yang tinggal di tebing sungai itu yang dikatakan sejak 300 tahun yang lalu.

Kredit : Orangperak.com


Penduduk terpaksa berpindah ke kawasan baru. Proses pemindahan ini melibatkan kira-kira 124 keluarga yang terdiri daripada 625 penghuni dari Kampung Temenggor. Kampung Temenggor juga terdiri daripada beberapa buah kampung iaitu :

  • Kampung Panggas
  • Kampung Bukit
  • Kampung Mingkong
  • Kampung Kertei
Pada tarikh 24 Jun 1976, 3 buah helikopter Nuri berlepas dari pengkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan menuju ke Ayer Ganda Gerik untuk melaksanakan Ops Pindah dan diketuai oleh Lt (U) Azmi Ibrahim bersama krewnya yang lain. Misi pemindahan itu telah dilaksanakan dengan berjaya oleh Lt (U) Azmi Ibrahim dan pasukannya. Ketiga-tiga helikopter Nuri kembali dan sampai ke pengkalan udara TUDM di Kuantan pada waktu maghrib setelah semuanya selamat dan Ops Pindah selesai dilaksanakan.


Pihak Lembaga Letrik Negara (kini TNB) dengan penuh rasa tanggungjawab telah menyediakan penempatan baru melalui kerajaan negeri Perak buat kesemua magsa penduduk Kampung Temenggor.Mereka telah menyediakan kemudahan asas seperti jalanraya, air, elektrik, masjid, sekolah, klinik desa, dewan orang ramai dan banyak lagi rancangan pembangunan yang lain.Pihak kerajaan telah menyediakan tapak penempatan baru buat mereka seluas 0.5 ekar, kebun getah seluas 10 ekar dan dusun seluas 2 ekar untuk setiap ketua isi keluarga yang dipindahkan secara PERCUMA. Almarhum Sultan Perak ke 33, Sultan Idris II yang memegang takhta pada ketika itu menamakan kampung baru tersebut sebagai Kampung Ganda Temenggor yang diambil dari sebatang sungai iaitu Sungai Ganda. Almarhun Sultan Idris II telah merasmikan Kampung Ganda Temenggor pada bulan Ogos 1976. Akhirnya nasib penduduk Kampung Temenggor terbela diatas keprihatinan daripada banyak pihak.

Sekian sampai disini sahaja penulisan saya, terima kasih kerana membaca dan meluangkan masa di blog saya ini.



Rujukan :

https://www.orangperak.com/kampung-di-dasar-tasik-temenggor-gerik.html
https://www.bharian.com.my/node/38338
https://soscili.my/hutan-belum-banding/
http://panglimalembahbelum.blogspot.com/2014/05/ringkasan-sejarah-kg-belum-baru-dan.html