Friday, June 8, 2012

Sejarah Melayu Di Bukit Siguntang


   Kisah Sejarah Melayu bermula dengan penceritaan asal usul Raja-Raja Melayu daripada Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama (anak Raja Suran yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain, nisab Sulaiman a.s., pancar Nusyirwan Adil, raja Masyrik dan Maghrib).Mereka dibela Raja Aftabul Ard. Apabila dewasa dan teringin ke dunia, “maka oleh Raja Aftabul Ard diberinya seekor lembu yang amat putih, seperti perak warnanya. Maka ketiga anak raja itupun naiklah ke atas lembu itu, lalu berjalanlah keluar. Dengan takdir Allah subhanahu wataala yang maha mulia dan maha kuasa, teruslah ke Bukit Siguntang (di Palembang) itu pada waktu malam.

   “Maka pada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumahnya, di atas Bukit Siguntang itu bernyala-nyala seperti api. Maka kata Wang Empuk dan Wan Malini, ‘Cahaya apa gerangan bernyala-nyala itu. Takut pula beta melihat dia.’…Maka keduanya naik ke atas Bukit Siguntang itu. Maka dilihatnya padinya berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa.” (Sejarah Melayu yang diusahakan WG Shellabear, Alkisah Cetera Yang Kedua, muka surat 17)
  
Kisah raja-raja di Bukit Seguntang ini berlaku lama sebelum Islam datang ke Alam Melayu. Menurut fakta sejarahnya, sebelum tahun 700 Masihi, Raja-Raja Sriwijaya yang berkerajaan di Palembang termasuk Bukit Seguntang beragama Hindu dan di antara tahun 700 hingga 1200 Masihi, beragama Buddha.

Raja Palembang pertama memeluk Islam adalah Ariodamar (1455-1486). Baginda menggunakan nama Islam, ArioAbdillah atau Aridillah. Sekalipun raja beragama Islam, rakyat dapat diislamkan sepenuhnya ketika pemerintahan Kesultanan Palembang Darussalam yang didaulatkan pada 1659.

   Di Bukit Siguntang, terdapat sekurang-kurang tujuh kuburan raja, permaisuri dan pahlawan di sana. Terdapat seorang wanita tua yang mendakwa sebagai Penjaga Kerajaan Sriwijaya di Bukit Seguntang. Pakaiannya pelik, berwarna merah, namanya Nyaton, 73 tahun. Dia mahu dikenali sebagai Nyai Bukit Siguntang.

   Beliau mendakwa keturunannya diamanatkan Patih Gadja Mada dari Majapahit melalui mimpi untuk menjaga makam-makam di Bukit Siguntang Mahameru. Menurut Nyai Nyaton, Parameswara adalah anak Balaputra Dewa, raja pertama Lembang Melayu di Bukit Siguntang. Beliau beradik dengan Radja Segentar Alam. Selepas berlaku perbalahan, Parameswara membawa diri ke Singapura, seterusnya ke Melaka. 


Sajak Kilauan Emas Bukit Siguntang

Kilauan Emas Bukit Siguntang

Maka nenek pun bercerita lagi
entah untuk ke berapa kali
agar cucu ingatkan asal
adat pokok ada berakar
adat hujung ada berpangkal.

Asal mula pertama mula
kita ini orang berbangsa
negeri bergelar negeri beraja
raja berdaulat mulia keturunan
pancar daripada Iskandar Dzulkarnain
penakluk seluruh daratan
datang kepada Raja Suran
yang turun ke dasar lautan
menemui Puteri Mahtabul Bahri
lalu berkahwin dan berketurunan.

Sehinggalah pada malam itu
tiga bersaudara putera Raja Suran
naik ke bumi bagai dipesan
sampai ke tanah Palembang
di atas Bukit Siguntang
tanah huma luas terbentang
tiba-tiba menjadi terang benderang.

Pemilik huma, Wan Malini dan Wan Empok
ketakutan melihat dari pondok
tidak pernah kita memandang
cahaya sebegini terang
jin atau pari-parikah yang bertandang
atau naga Sakti yang menyerang.

Esok pagi terjaga
Mereka turun ke tanah huma
terkejut tidak percaya
melihat bumi memancarkan cahaya
padi sudah menjadi emas
daunnya bertukar perak
tangkainya beralih suasa.

Ditemui putera tiga bersaudara
anak-anak Raja Suran
yang elok tiada bandingan
lengkap berpakaian kebesaran
lengkap bermahkota berkilauan
mahkota bukan sebarang mahkota
diambil dari peti Nabi Sulaiman
padi berbuah emas
berdaun perak
bertangkai suasa
kerana kebesaran mereka.

Nenek beralih simpuh bersedia meneruskan cerita
malam diserang jemu
nenek diserang cucu
berkali-kali sudah kami dihidangkan cerita
anak raja itu pun dirajakan di dunia
sibuklah segala rakyat jelata
menyediakan istiadat pertabalan
berpesta dan beraya.

Nila Utama menjadi Sang Sapurba
berwaadat dan berteguh janji dengan
Demang Lebar Daun
dan kita pun menjadi rakyat setia
bertahun-tahun berkurun-kurun.
Tetapi nenek tidak pernah menyebut
apa terjadi dengan segala emas
segala perak
dan segala suasa
yang dikatakan memancar menyala-nyala
di tanah huma saujana huma
siapakah yang menuainya
bagaimana is dipergunakan
dengan emas itu sewajarnya
kita telah menjadi bangsa terkaya.

Hingga kini kita tak perlu bimbang
kekalnya raja yang dirajakan
di atas Bukit Siguntang
namun kita lupa
segala emas, perak dan suasa
siapakah yang menuainya
ketika kita sibuk berupacara.