Wednesday, October 5, 2011

ISTANA HULU BUKIT CHANDAN KUALA KANGSAR


ISTANA HULU

Istana Hulu atau disebut juga dengan nama 'Istana Kota' dan 'Istana Hijau' ini terletak di Bukit Chandan iaitu tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Istana ini pada asalnya ialah tempat bersemayam Sultan Perak yang ke-28, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887-1916). Ianya telah mula dibina pada tahun 1898 dan siap pada tahun 1903. Adalah dipercayai bahawa Kapten Maurice Alexander Cameron, iaitu Timbalan Jurutera Kolonial dan Ketua Juruukur Negeri-Negeri Selat di antara tahun 1883 dan 1892, adalah orang yang bertanggungjawab menghasilkan seni bentuk serta pembinaan istana ini.





Pada tahun 1916, Istana Hulu ini telah diduduki oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah, putera Sultan Idris Shah, Selepas kemangkatan Sultan Abdul Jalil Shah pada tahun 1918, istana ini telah diduduki pula oleh putera baginda, Sultan Yussuf Izzuddin Shah, Sultan Perak yang ke-32 ( 1948-1963).


Dalam tahun 1954, Istana Hulu ini telah dimiliki pula oleh Kementerian Pendidikan dan seterusnya pada tahun 1957 digunakan pula sebagai sekolah yang dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota. Pada tahun 1970, nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota telah ditukarkan pula kepada nama Sekolah Raja Perempuan Muzwin sebagai mengambil sempena nama Raja Perempuan, Raja Muzwin binti Raja Ariff Shah. Sekarang, istana ini telah dikosongkan semula.


Dan sekarang,bangunan ini dikenali sebagai Galeri Sultan Azlan Shah,di mana tempat aku bekerja,dan telah dirasmikan pada 9 Disember 2003.


PENGENALAN GALERI SULTAN AZLAN SHAH

Galeri Sultan Azlan Shah sebuah Galeri yang indah dan menarik senibinanya. Galeri ini berasal dari sebuah istana yang dikenali sebagai Istana Ulu. Galeri ini telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Azlan Shah pada 9 Disember 2003 sempena ulang tahun Perkahwinan Baginda yang ke-48.

Raja Azlan Shah memperlihatkan sifat kesungguhan dan ketekunan yang tinggi dalam usaha menguasai ilmu pengetahuan. Baginda memulakan alam persekolahan bermula dari Sekolah Melayu Batu Gajah, disusuli di Sekolah Inggeris Batu Gajah hingga memperoleh 'School Certificate' dengan keputusan cemerlang. Baginda seterusnya meneruskan persekolahan ke Tingkatan Enam di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Baginda sentiasa memperlihatkan bakat kepimpinan yang tinggi sehingga dilantik menjadi ketua murid di Sekolah Inggeris Batu Gajah dalam tahun 1948. Baginda juga seorang yang aktif dalam sukan olahraga, kriket, bola sepak dan terutamanya hoki.

Raja Azlan Shah telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Nottingham dalam tahun 1953 dan setahun kemudian diterima sebagai 'Barriter-at-Law' di Lincoln Inn United Kingdom pada 23 November 1954.

Sekembali ke tanah air, Baginda dilantik sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Baginda memulakan perkhidmatan dalam perkhidmatan perundangan sebagai seorang mejistret. Pada 7 November 1982, Baginda dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.

Baginda turut memainkan peranan aktif dalam dunia pendidikan negara. Baginda telah diberikan penghormatan menjadi Pengerusi Majlis Penasihat Pelajaran Tinggi dalam tahun 1974, menjadi Canselor Universiti Sains Malaysia dalam tahun 1971 hingga ke 1984. Baginda pernah berperanan sebagai pemeriksa luar bagi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Malaya. Pada hari ini Baginda adalah Canselor Universiti Malaya.

Baginda adalah seorang pemimpin sukan berkaliber, memimpin Persekutuan Hoki Malaysia, sebagai Timbalan Presiden kepada Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dan dilantik sebagai Presiden pada tahun 1981. Baginda juga adalah Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa.

Sultan Azlan Shah telah dikurniakan anugerah akademik oleh beberapa universiti dan bintang kehormat dari dalam dan luar negara.

Galeri ini adalah satu pendekatan terbaik untuk merakam laluan peristiwa yang telah Duli Tuanku cipta dan ukir supaya dapat diikuti dan dihayati oleh rakyat jelata. Galeri ini bukan sahaja dapat berfungsi sebagai sumber rujukan malah membolehkan rakyat mengenali secara mendalam seorang Raja yang berdaulat lagi dikasihi.


sumber : rajakita.perak.gov.my & Moziumperak.gov.my



No comments: